Friday, December 11, 2009

Aktiviti 13 : Tugasan 4 Mini KT

 Berdasarkan kursus psikologi pendidikan / kaedah mengajar / pentaksiran pembelajaran


a) Apakah teori-teori, strategi, kaedah yang boleh diguna @ diadaptasi bagi setiap masalah

b) Bina kerangka teoritikal, konseptual, operasional kajian

# mesti selaras dengan pernyataan masalah dan tujuan /objektif/soalan kajian

Jawapan (a)

1) Teori yang digunakan

Teori Resapan Inovasi adalah satu teori yang dipelopori oleh Everett M.Rogers. "Resapan" merupakan proses di mana sesuatu inovasi dihubungkan melalui saluran-saluran tertentu mengikut masa dalam kalangan ahli-ahli dalam sesebuah sistem sosial (Rogers, 1983). Secara ringkasnya, teori ini membincangkan dengan mendalam bagaimana sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk idea, teknologi, barangan atau teknik-teknik berkembang dalam berbagai-bagai khalayak contohnya dalam hal ini pelajar merupakan khalayak utama. Teori Resapan Inovasi digunakan dalam kajian ini untuk melihat tahap penggunaan animasi sebagai bahan multimedia yang mampu memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pelajar.

2) Strategi Pengajaran dan Pembelajaran

Strategi Pemusatan Murid

Di bawah strategi pemusatan murid, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Mengikut strategi ini, murid-murid digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang membimbing murid-murid menjalankan aktiviti pembelajaran sama ada secara kumpulan atau secara individu. Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Contohnya berdasarkan tajuk kajian kami, kaedah yang akan diterapkan adalah soal jawab, sumbangsaran dan perbincangan.

3) Kaedah yang digunakan

(i) Kaedah soal jawab

Kaedah ini dipilih kerana ia berupaya mewujudkan interaksi di antara guru dengan murid secara berkesan. Ia dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar hendaklah memberi tindak balas yang sewajarnya. Soalan-soalan yang dikemukan memerlukan pelajar berfikir di samping dapat menguji dan menilai apa yang diajar. Terdapat beberapa tujuan utama kaedah ini dilaksanakan, antaranya adalah untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis. Selain itu, dapat mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar di samping dapat melatih pelajar berani untuk memberi pendapat dan berkomunikasi. Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran murid di samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

(ii) Kaedah sumbangsaran

Sumbangsaran merupakan satu kaedah yang dikenali juga sebagai percambahan fikiran (brainstorming) iaitu merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli menyumbangkan pendapat dan idea. Melalui kaedah ini, pelajar akan melibatkan diri secara aktif untuk memberikan idea dan pandangan mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Melalui penggunaan kaedah ini juga, secara tidak langsung banyak idea baru dapat dicungkil sebanyak mungkin dalam sesuatu isu.

Pelaksanaan :
a) Guru akan menerangkan tujuan dan mengemukakan persoalan yang menjadi fokus sesi pembelajaran.
b) Idea akan dinyatakan secara spontan dan dapat dikumpul sebanyak yang mungkin.
c) Idea tersebut turut boleh dikembangkan oleh pelajar lain.

(iii) Kaedah Perbincangan

Kaedah perbincangan boleh didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat mengenai sesuatu tajuk. Tujuan kaedah ini adalah untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan berpendapat dengan bernas (Kementerian Pendidikan 1990:83). Kaedah ini merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan dan dilakukan di kalangan pelajar di bawah penyeliaan dan kawalan seorang guru. Aktiviti perbincangan ini dilakukan antara pelajar secara bekerjasama mengenai sesuatu perkara atau topik yang diberi.

Pelaksanaan :

a) Guru menarik perhatian pelajar kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan.
b) Guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan kemudian memilih seseorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek-aspek perbincangan dapat dijalankan dan dicapai.
c) Guru kemudiannya menugaskan setiap kumpulan mendapatkan maklumat dengan cara berbincang dengan ahli-ahli kumpulan.
d) Hasil perbincangan boleh dicatatkan di papan tulis atau kad manila mana-mana yang penting.

Jawapan (b)

Kerangka Konseptual













Aktiviti 12 : Pemurnian

Berdasarkan maklum balas, buat penambahbaikan pernyataan masalah, tujuan dan objektif kajian.

Matlamat Kajian
Mengenal pasti penggunaan animasi mampu memberikan kefahaman yang tinggi dalam menguasai pengajaran dan pembelajaran.

Tujuan Kajian
Memberi rangsangan kepada pelajar agar lebih tertumpu dan menarik minat dalam pembelajaran.

Objektif Kajian
1. Membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam P & P.
2. Mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik pengajaran

Aktiviti 11 : Tugasan 2 : Jurnal

Soalan

Berdasarkan 3 jurnal, lihat :

a) Apa pernyataan masalah dalam kajian?
b) Bagaimana mereka melapor pernyataan masalah.

 PERBANDINGAN JURNAL
Jurnal 1
Understanding our learners and developing reflective practice: Conducting action research with English language learners

Jurnal 2
An action Research Exploration Integrating Student Choice and Art Activities in a Sixth Grade Social Studies Classroom

Jurnal 3
Qualitative Assessment Across Language Barriers : An Action Research Study

RINGKASAN
Jurnal 1

Kajian ini membincangkan cara di mana projek kajian tindakan boleh digunakan di dalam English Language learners (ELLs) sebagaimana menolong para guru untuk mewujudkan amalan latihan. Berdasarkan tinjauan, projek kajian tindakan yang dijalankan dengan English Language learners (ELLs) dan refleksi sebagai data, kajian meneroka pertanyaan guru mengenai kesan dan kerja di dalam kaedah pengajaran dan kebergantungan terhadap ELLs. Para pelajar menyatakan bahawa mereka membesar seperti seorang guru, berfikir dan lebih yakin mengenai mengajar di dalam keadaan biasa dan mengajar ELLs.

Jurnal 2
Kajian ini adalah kajian tindakan yang telah dijalankan untuk untuk mengetahui cara untuk menggabungkan seni di dalam pendidikan sosial kanak-kanak dapat meningkatkan penyertaan, motivasi dan kesan pencapaian pelajar melalui peningkatan motivasi dan juga penyertaan. Rancangan pengajaran yang asas memerlukan kebijaksanaan di dalam menggabungkan aktiviti kesenian yang memberikan pelajar pilihan di dalam jenis aktiviti untuk diselesaikan yang mana ianya mempunyai impak di dalam motivasi dan persepsi. Kebanyakan markah aktiviti kesenian meningkat yang berlaku kerana gabungan aktiviti seni dan pilihan pelajar.

Jurnal 3
Kajian ini adalah mengenai bagaimana penilaian terhadap sekumpulan pelajar di mana bahasa ibunda mereka dan budaya adalah berbeza dengan bahasa dan budaya pengkaji. Bagaimana kefahaman yang sama dapat diwujudkan antara pengkaji dan pelajar (responden) di mana mereka mempunyai cara berkomunikasi yang berbeza.

APA MASALAH YANG DIJADIKAN KAJIAN
Jurnal 1
Kajian ini ialah mengkaji cara-cara di mana melakukan kajian tindakan yang melibatkan pengajar bahasa Inggeris di mana mereka membantu graduan ke arah pengajaran yang melibatkan pelbagai jenis pelajar dan kesan di dalam pengajaran mereka. Kajian tindakan ialah salah satu daripada bahagian di dalam kajian guru yang dapat memberikan galakan kepada mereka untuk mempraktikkannya di dalam kelas.

Jurnal 2
Kebiasaannya, pelajar selalu diberikan penekanan terhadap matapelajaran yang teras seperti matematik. Ianya banyak juga memberikan kesan terhadap pendidikan sosial yang mengajarkan tentang aspek berkomunikasi dan pergaulan seringkali diabaikan oleh guru kerana ingin berusaha untuk mencapai sasaran pencapaian pelajar yang baik terhadap matapelajaran teras.

Jurnal 3
Masalah yang terbesar adalah perbezaan komunikasi dan budaya antara pengkaji dan pelajar (responden) di dalam menentukan tahap keberkesan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tersebut di mana masalah bahasa dan cara pertuturan yang tidak sama.

Aktiviti 10 : Tugasan 1 : Buku

Soalan:
Berdasarkan buku yang anda baca, bincang tentang "Mengenal pasti masalah kajian tindakan"




Berdasarkan, buku Action Research yang ditulis oleh Ernie T.Stringer ini menunjukkan bahawa sesuatu kajian yang dilakukan secara sistematik dan teratur adalah untuk memberi jawapan atau menyelesaikan sesuatu permasalahan / fenomena yang timbul di mana masalah itu wujud.

Bagi mengenal pasti suatu permasalahan dalam kajian, suatu penyelidikan itu boleh dikenal pasti melalui ciri-ciri seperti berikut :
  • Mengandungi isu atau masalah yang boleh terjawab melalui penyelidikan
  • Proses mendapatkan maklumat
  • Penjelasan yang membolehkan individu untuk memahami masalah
Kajian juga boleh membincangkan tindakan yang mencuba untuk menyelesaikan masalah yang telah dikaji. Kajian dapat digambarkan sebagai sesuatu yang tidak lebih daripada perkembangan aktiviti di mana kita terlibat di dalam kehidupan seharian. Walaupun masalah yang biasa, contoh : Di manakah stokin biru saya?

 Kita bertanyakan soalan yang memerlukan penjelasan yang menyediakan asas kepada jawapan (saya telah memakai stokin biru semalam) , (saya) mungkin meletakkan stokin tu dalam mesin basuh).

 Kejayaan kajian saintifik adalah berdasarkan desakan di atas ketepatan dan ketelitian formulasi huraian, pemerhatian, dan penjelasan. Ketelitian terhadap apa yang diperhatikan dan yang dihuraikan akan memberikan penjelasan tentang keberkesanan yang membolehkan kita untuk membuat anggapan dan mengawal masalah di dunia ini.

Prosedur Kajian

Setiap kajian perlu ada prosedur-prosedur tertentu agar penyelidikan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Antara prosedur-prosedur yang ditekankan adalah seperti berikut:

a) Mengenal pasti dan fokus kepada isu
b) Mendefinisikan masalah
c) Kaedah yang digunakan , contohnya tinjauan
d) Membina gambaran tentang keadaan isu yang dikenal pasti
e) Mengumpul data
f) Menganalisis data 

Untuk kelas 18 hb Disember 2009

Pengenalan: Matlamat kajian tindakan dapat dicapai melalui proses pengumpulan data. Dalam membuat kajian tindakan bukanlah bermakna menulis apa yang kita rasa betul tetapi perlu melalui kajian dan proses pengumpulan data. Hasil kajian tindakan tersebut adalah kesimpulan daripada fakta atau data yang dikumpul tersebut. Selain itu, kajian tindakan perlu dibuat secara sistematik. Ini bermakna sebelum kajian dimulakan, perancangan untuk pengumpulan data perlu dibuat terlebih dahulu. Pengumpulan data di dalam projek kajian tindakan dilakukan dalam jangka masa yang berbeza dan melalui pelbagai cara. Terdapat beberapa kaedah pengumpulan data yang dikemukan dalam buku tersebut sebagai panduan untuk pembaca memilih kaedah mana yang sesuai.

1. Temu Ramah (Interviews)
Kaedah temu ramah ini hanya dilakukan apabila responden mempunyai kelapangan masa dan mengikut kesesuaian pihak responden. Kaedah ini dilakukan semasa proses pengedaran atau pengumpulan borang soal selidik melalui serahan tangan. Penyelidik menggunakan kaedah ini terhadap sesetengah responden pada sesetengah kawasan sahaja. Ini kerana terdapat sesetengah responden merupakan kenalan pihak penyelidik. Soalan-soalan yang tertentu telah pun disediakan dan disusun oleh penyelidik. Pihak penyelidik telah pun membuat temu janji seminggu lebih awal, bagi memastikan pihak responden benar-benar bersedia dengan segala jawapan yang mungkin. Soalan temu ramah ini akan menambahkan pengetahuan dan membantu penyelidik dalam menyiapkan kajian yang dijalankan.

a. Soalan
    • Soalan tipikal
    • Soalan spesifik
b. Rakaman audio

2. Pemerhatian melalui penglibatan (Participant-observation)
Kaedah ini berasal dari bidang antropologi (kajian tentang kehidupan masyarakat). Penyelidik biasanya melibatkan diri dengan masyarakat yang hendak dikajinya untuk memahami dengan jelas sesuatu isu yang berkaitan dengan masyarakat tersebut. Elemen-elemen yang terdapat di dalam kaedah ini:
a. Tempat

b. Manusia
c. Objek
d. Perlakuan
e. Peristiwa
f. Tujuan
g. Masa
h. Perasaan

3. Data Penyimpanan Rekod (Documents)

Data ini termasuklah memo, minit mesyuarat, rekod, laporan rasmi, kenyataan polisi, laporan tahunan, rekod pencapaian pelajar, skor ujian,fail komulatif, pekerjaan ibu bapa, rekod kehadiran. Keadah pengumpulan memerlukan pengkaji perlu mangikut prosedur yang ditetapkan dan menggunakan dan merekod dengan penuh etika.

Rumusan : Pengumpulan data boleh dilakukan dalam banyak bentuk dan sumber samada fakta yang dikumpul atau direkod. Kesesuaian dan perancangan yang fleksibal perlu dilakukan terlebih dahulu dalam proses pengumpulan data.Kaedah pengumpulan data bagi kajian tindakan perlu dipelbagaikan dan dikumpul dengan pelbagai cara dan sepanjang masa.Terdapat banyak kaedah pengumpulan data yang dikemukan dalam buku tersebut namun anda perlu memilih dua atau empat kaedah sahaja supaya kajian tindakan anda lebih terfokus


Analisis data: Secara ringkasnya, analisis data merupakan proses menggunakan data dan mengolahnya menjadi maklumat untuk dihuraikan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil bagi meningkatkan kefahaman terhadap sesuatu isu yang dijadikan sebagai kajian. Untuk menganalisis data yang diperoleh, pengkaji perlu :

i) mengenal pasti elemen utama atau dengan kata mudah mengenal pasti maklumat penting
sahaja
ii) merumuskan kategori, contohnya kumpulan yang mempunyai item yang serupa
iii) merumuskan tema, contohnya bagi kumpulan yang mempunyai kategori yang sama

Data yang diperolehi disusun berdasarkan;
i) kegiatan dalam penyelidikan yang telah dilakukan, merangkumi apa yang telah dilakukan, di mana, bila, dan mengapa
ii) Situasi / konteks
iii) Isu yang menjadi persoalan kajian

Saturday, November 21, 2009

Aktiviti 9 : Tugasan 4 Mini KT

Dalam pasukan bina :
1. Matlamat kajian tindakan (satu ayat / penyataan umum apa yang hendak dicapai di akhir kajian)
2. Bentuk objektif kajian
3. Bentuk soalan kajian

Matlamat Kajian
Mengenal pasti penggunaan animasi mampu memberikan kefahaman yang tinggi dalam menguasai pengajaran dan pembelajaran.

Objektif Kajian
1. Membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam P & P.
2. Mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik pengajaran

Soalan Kajian
1.Bagaimana penggunaan animasi dapat membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam P & P?
2.Adakah penggunaan animasi mampu mengukuhkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik pengajaran?

Aktiviti 7 : Tugasan 4 Mini KT

Berdasarkan tajuk kajian, huraikan– KELEMAHAN pengajaran-pengajaran subjek berkenaan berdasarkan :-

Pengalaman / refleksi secara individu

1. Pengurusan pengetahuan merupakan suatu konsep yang kompleks dan meragukan
2. Teknologi yang menguruskan pembelajaran dan pengetahuan condong kepada sifat pembahagian dan tidak mungkin akan diintegrasi
3. Kebergantungan guru terhadap bahan animasi tersebut boleh menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak berjalan dengan lancar.

Pengalaman / Refleksi dalam pasukan
1.Sesetengah maklumat berkenaan dengan pembelajaran tentang realiti sebenar sesuatu keadaan atau benda itu mungkin akan hilang dan tidak boleh diperolehi dalam program animasi.
2.Penggunaan animasi tidak mengambil kira tahap murid-murid di dalam sesuatu kumpulan atau kelas.


Aktiviti 8 : Tugasan 4 Mini KT
Berdasarkan tajuk kajian, huraikan– cadangan untuk mengatasi kelemahan pengajaran-pengajaran subjek berkenaan berdasarkan :-
Fikir sendiri cadangan secara individu

1. Guru menyediakan sendiri animasi interaktif untuk digunakan semasa proses P & P
2. Guru harus bersiap sedia dengan bahan-bahan animasi yang lain (bercetak) contohnya menggunakan gambar berbentuk animasi untuk diterapkan dalam P&P sebagai inisiatif lain.
3. Guru perlu menguasai kemahiran dalam penggunaan ICT tidak kiralah sama ada ia melibatkan penggunaan animasi, video dan sebagainya.

Fikir cadangan dalam pasukan

1. Guru harus lebih kreatif dalam penyediaan bahan-bahan animasi yang sesuai untuk digunakan dalam pembelajaran.
2. Guru harus memilih masa yang sesuai untuk menayangkan animasi tersebut agar ianya sesuai dengan kehendak pembelajaran pada masa itu.
3. Animasi yang menjadi pilihan guru untuk dijadikan sebagai bahan pengajaran perlulah mempunyai kandungan yang sesuai serta penerapan pelbagai nilai yang sememannya khusus untuk suatu pengajaran tersebut.

Aktiviti 6 : Tugasan 4 Mini KT

Berdasarkan tajuk kajian, huraikan– kekuatan pengajaran-pengajar an subjek berkenaan berdasarkan :-
Pengalaman / refleksi secara individu

a) Penggunaan animasi dapat menarik minat pelajar agar lebih fokus dalam P & P, kerana penggunaan warna, pergerakan, muzik dan lain-lain sememangnya mampu menghiburkan pelajar yang memang pada dasarnya suka akan hiburan.
b) Sesuatu pengajaran menjadi lebih menyeronokkan.
c) Dapat meningkatkatkan kefahaman dan daya ingatan pelajar.
d) Mengelakkan kebosanan dalam sesi P & P.
e) Menggalakkan penyertaan pelajar di dalam proses P & P.
f) Memberikan pengalaman yang baru di dalam aktiviti pengajaran selain “chalk and talk”

Pengalaman / refleksi dalam pasukan
1. Penggunaan animasi merupakan satu alternatif berkesan untuk menyampaikan sesuatu P&P memandangkan animasi turut menjadi rancangan kegemaran yang biasa di tonton di rumah.
2. Animasi sebagai alat untuk membantu pelajar melaksanakan tugas pembelajaran di samping dapat menyalurkan maklumat.
3. Animasi turut mampu memudahkan proses penerangan konsep atau pun demonstrasi sesuatu kemahiran.
4. Dapat menunjukkan dengan jelas struktur, fungsi, urutan atau prosedur sesuatu. Contohnya cara melukis suatu segi tiga sama sisi dengan bantuan jangka lukis.
5. Dapat menjelaskan konsep yang abstrak seperti menggambarkan struktur dan fungsi sesuatu sistem yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Contohnya, aliran tenaga elektrik dan halaju.
6. Penggunaan animasi mampu meningkatkan kreativiti dan daya imaginasi pelajar untuk berfikir sesuatu yang baru.
7. Penggunaan animasi sebagai kaedah yang digunakan oleh guru bagi memudahkan pembelajaran serta dapat menyampaikan bahan pembelajaran.
8. Animasi sebagai suatu bahan untuk meningkatkan perhatian pelajar dan secara tidak langsung turut meningkatkan motivasi pelajar.

Pengalaman dari luar pasukan ( perlu temubual rakan-rakan dalam pasukan lain)

1. Tajuk ini sesuai digunakan di dalam era teknologi maklumat.
2. Penggunan animasi dapat memberikan impak pengajaran yang berguna di dalam pengajaran.

Berdasarkan literatur review – buku dan jurnal (bincang dalam pasukan)

Jurnal
KESEDIAAN DAN KEBERKESANAN PENGGUNAAN KOMPUTER
DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BIOLOGI DI SEBUAH
SEKOLAH MENENGAH

Tang Keow Ngang Abdul Ghani
Kanesan Abdullah
Universiti Sains Malaysia

Media dan teknologi pembelajaran telah banyak mempengaruhi corak pendidikan di seluruh dunia. Kini perkembangan dan program komputer telah mula mengubah senario pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Kewujudan penggunaan komputer bukan sahaja dapat merangsang pemikiran pelajar bahkan dapat memperbaiki dan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah (Zoraini Wati Abas, 1993, ms. 27). Penggunaan perisian-perisian yang dibangunkan khas untuk sesuatu mata pelajaran, bahan-bahan sumber dalam bentuk elektronik, penggunaan CD-ROM berasaskan subjek, penggunaan pangkalan data elektronik adalah aspek-aspek penting yang boleh meningkatkan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran Biologi. Secara keseluruhannya, penggunaan komputer dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran sememangnya membawa manfaat kepada para pelajar.

Buku

MULTIMEDIA DALAM PENDIDIKAN
Oleh : Rozinah Jamaludin

Multimedia memberikan dimensi baru dengan mengintegrasikan bunyi, gambar, muzik, dan video dengan teks dan menukar wajah pembelajaran secara linear dan menjurus pelajar kepada pembelajaran secara kendiri dengan guru sebagai fasilitator dan mentor.



Friday, November 13, 2009

Tugasan Kelas: Aktiviti 5

Bersama ahli kumpulan
Soalan
1) Bincang dengan pasangan anda MENGAPA guru (pelatih/novis/ berpengalaman) perlu melakukan kajian tindakan
2) Bincangkan dengan pasangan anda mengapa anda ingin melakukan tajuk yang dipilih untuk mini kajian anda?

Jawapan Soalan 1

Seorang guru tidak kira pelatih/novis/pengalaman perlu melakukan kajian tindakan kerana kajian tindakan merupakan satu cara dan pendekatan yang dapat dilihat keberhasilannya dan secara tidak langsung guru dapat memikirkan langkah-langkah yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran.

Melalui kajian tindakan yang dilakukan, guru dapat mengesan dan menyelesaikan sesuatu masalah dengan lebih baik. Secara umumnya kajian tindakan ini dilakukan adalah bertujuan untuk penambahbaikan. Melaluinya, guru dapat memikirkan pelbagai pendekatan baru bagi menyesuaikan amalan pengajaran mereka dengan kehendak pelajar.

Ekoran daripada itu, guru boleh memperbaiki cara pengajaran mereka di samping dapat mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Dengan ini, secara tidak langsung dapat meningkatkan profesionalisme seorang guru.

Jawapan Soalan 2
Tujuan kami memilih tajuk seperti di bawah adalah kerana :
"Penggunaan Animasi melalui Media Interaktif dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran ICT, Bahasa Melayu dan Perdagangan"

Animasi merupakan antara elemen multi media yang paling diminati serta mendapat perhatian ramai termasuklah anak kecil dan orang dewasa. Ia berbentuk paparan visual yang bersifat dinamik dan merujuk kepada suatu proses menjadikan sesuatu objek agar kelihatan hidup atau memberi gambaran bergerak kepada sesuatu yang pada dasarnya adalah statik.Maka melalui penggunaan animasi ini, terdapat banyak kelebihannya.
Antaranya adalah seperti berikut :
a) Dapat menceriakan proses penyampaian guru
b) Membolehkan sesuatu persembahan yang disampaikan kelihatan hidup atau realistik berbanding penggunaan teks semata-mata
c) Dapat menghasilkan persekitaran pembelajaran yang merangsangkan dan menyeronokkan
d) Mampu menarik perhatian pelajar dengan mudah. Pelajar akan memberi tumpuan yang lebih lama.

Tugasan Kelas: Aktiviti 4 - Cadangan Mini Kajian Tindakan

Bersama dengan ahli kumpulan, kemukakan apakah cadangan mini kajian tindakan yang anda ingin lakukan dalam pengajaran mikro yang mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kami telah mencadangkan tajuk seperti di bawah sebagai mini kajian tindakan :
"Penggunaan Animasi melalui Media Interaktif dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran ICT, Bahasa Melayu dan Perdagangan"

Tugasan 1: Aktiviti 1 - Ulasan Buku (Apa itu kajian tindakan?)

Aktiviti Berkumpulan:

1. Ahmad Faiz Bin Mohamed @ Mahmood
2. Aena Munirah Binti Abd Rahim
3. Norazura Binti Tukiran

Buku 1
Nama Buku : Action Research : Second Edition
Nama Pengarang : Ernie T. Stringer



Apa itu Kajian Tindakan?
Ianya adalah satu tindak balas kepada kedua-dua penekanan sama ada yang berbentuk pragmatik atau falsafah. Kini, ianya lebih dikenali sebagai disiplin pertanyaan (kajian) yang memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti organisasi masyarakat, komuniti dan kehidupan keluarga. Buku ini melihat kaedah dan teknik penyelidikan yang mengambil kira sejarah manusia, kebudayaan, amalan interaksi dan menyentuh berkaitan dengan kehidupan.

Buku 2

Nama Buku : The Action Research Guidebook : A Four-Step Process for Educators and School Teams. Nama Pengarang : Richard Sagor



Buku ini memberi konsep kajian tindakan sebagai satu siasatan atau kajian yang dilakukan oleh individu atau kumpulan ke atas sesuatu permasalahan yang berkenaan dengan bidang masing-masing dengan tujuan untuk penambahbaikan. Kajian tindakan ini sesuai diaplikasikan ke atas sesuatu permasalahan itu jika permasalahan tersebut menepati tiga persoalan berikut:

1. Adakah fokus dalam persoalan kajian itu menumpukan kepada permasalahan di dalam bidang profesional anda?
2. Adakah anda mempunyai kuasa atau kemampuan untuk mmengubah dan melakukan sesuatu berdasarkan hasil atau dapatan daripada kajian?
3. Adakah penambahbaikan itu mampu dibuat?
Jika ketiga-tiga soalan ini mempunyai jawapan 'ya', maka kajian tindakan adalah sesuai dijalankan.

Penilaian terhadap kedua-dua buku ini:

Buku 1 sesuai digunakan sebagai panduan untuk pelbagai jenis pengguna termasuklah guru, pekerja kesihatan, pekerja sosial dan sebagainya. Setiap prosedur diterangkan dengan jelas menggunakan tahap-tahap yang sesuai.Begitu juga dengan bahasa yang digunakan senang difahami.

Manakala Buku 2 khusus untuk dijadikan panduan kepada pendidik dan pentadbir di sekolah.